019 600 8626
HOTLINE
06 677 0034
HOSPITAL
06 675 2560
KLINIK
was successfully added to your cart.

Cart

Penerbangan jarak jauh semasa kehamilan

By 15/10/2017Artikel

Baru-baru ini ada cerita seorang ibu Malaysia yang tersangkut di luar negara kerana terlahirkan anak pramatang semasa menziarahi keluarga di England. Beliau membuat penerbangan ke England semasa hamil, hanya untuk bertujuan menziarah tetapi tidak menjangka akan bersalin pada 30 minggu kehamilannya semasa di sana. Masyarakat Malaysia menolong mengutip bantuan kewangan kerana anak pramatangnya memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (Neonatal intensive care unit, NICU) di England.

 

Untuk ibu yang tidak bermastautin di sana, bayaran yang dikenakan adalah 2000 sterling sehari (harap GST tu boleh dapat balik). Selepas pertukaran mata wang ke Ringgit Malaysia, ini adalah lebih daripada RM10,000 sehari. Di Malaysia pun, di hospital swasta, jika anak pramatang dimasukkan ke NICU, ibubapa akan dikenakan bayaran RM3000 sehari. Anak yang pramatang 30 minggu ini perlukan rawatan di NICU selama satu bulan, dan selepas itu tidak digalakkan terbang ke Malaysia selama satu bulan lagi, supaya paru-parunya lebih matang lagi untuk penerbangan jarak jauh.

Ini bukan kali pertama saya mendengar cerita begini. Sudah beberapa kali saya merawat pelancong yang terberanak di Malaysia juga.

Baru-baru ni juga menjelang cuti Merdeka dan Raya Haji, ada beberapa ibu-ibu hamil yang bertanya bolehlah mereka bercuti ke luar negara?

Nasihat saya kepada semua ibu-ibu hamil tentang penerbangan jarak jauh, iaitu penerbangan 4 jam atau lebih ialah:

1) Penerbangan jarak jauh tidak meninggikan risiko kelahiran pramatang atau keguguran, dan radiasi yang diterima dari angkasa kosmik tidak menjejaskan kesihatan janin.

2) Ketahuilah kelahiran pramatang berlaku dalam 1 per sepuluh (10%) kehamilan. Walaupun 90% ibu tidak melahirkan pramatang, kita tak boleh nak meramalkan siapa yang akan terberanak awal di perantauan. Risiko yang meningkatkan kelahiran pramatang ialah ibu yang pernah melahirkan anak pramatang, kehamilan kembar, ibu yang merokok, ibu yang terlalu obese atau terlalu kurus, ibu yang kekurangan darah haemoglobin, ibu yang ada pendarahan atau pecah air ketuban.

3) Semak lah tiket penerbangan anda sama ada perlindungan insurans perubatan yang anda ada akan juga memberi perlindungan untuk rawatan kebidanan dan neonatal di luar negeri. Kebanyakan insurans perubatan tidak akan memberi perlindungan ini. Fikirkan tentang ini.

4) Selidik sama ada tempat yang anda berkunjung tidak jauh daripada hospital yang boleh memberi perkhidmatan bersalin dan NICU jika perlu.

5) Bertanya kepada sistem penerbangan anda apakah had maksima minggu kehamilan yang dibenarkan terbang. Kebanyakan menghadkan sehingga 36 minggu dan meminta bukti anda tidak melebihi 36 minggu (melalui lapuran ultrasound anda atau buku merah) kerana khuatir anda nanti terberanak atas kapalterbang. Jika kehamilan kembar, hadnya 32 minggu.

6) Selidik sama ada terdapat masalah penyakit berjangkit di negara yang dikunjungi (seperti malaria, yang memerlukan ubat pencegah Malaria, atau epidemik influenza yang digalakkan untuk mendapatkan vaksin pencegah, ZIKA di Brazil). Kami tidak menggalakkan ibu hamil berkunjung ke negara-negara ini.

7) Bagi penerbangan jarak jauh, ketinggian yang dicapai akan menyebabkan tekanan udara yang lebih rendah di dalam kabin kapalterbang jika dibandingkan dengan tekanan udara di permukaan bumi. Ini menyebabkan tekanan oxygen yang rendah, dan kandungan oxygen di dalam darah akan jatuh sebanyak 10%. Ini tidak akan membahayakan janin jika ibu sihat, tetapi ibu yang mempunyai penyakit jantung dimana kandungan oxygen di dalam darah sudah pun lebih rendah daripada biasa tidak akan dibenarkan terbang jarak jauh.

Selain daripada itu, kekeringan udara menyebabkan lebih kehilangan air daripada badan dan kepekatan darah, dan jika duduk lama-lama boleh memperlahankan pengaliran darah di kaki. Semua ini meninggikan risiko mendapat darah beku di dalam saluran darah.

Risiko darah beku kerana penerbangan jauh ini meningkat 4 kali ganda lebih tinggi bagi orang yang tidak hamil.

Risiko darah beku meningkat 6 kali ganda lebih tinggi kerana kepekatan darah ibu yang hamil jika dibandingkan dengan wanita yang tidak hamil.

Risiko mendapat darah beku kerana ibu hamil membuat penerbangan jarak jauh ialah lebih kurang 1 dalam 1000. Jika anda juga pernah mendapat darah beku di dalam saluran darah, risiko anda lebih tinggi lagi dan tidak digalakkan untuk terbang jarak jauh semasa hamil.

Ibu-ibu hamil yang tidak digalakkan membuat penerbangan jarak jauh ialah:
☀️mereka yang mempunyai penyakit jantung,
☀️pernah melahirkan anak pramatang,
☀️kehamilan kembar
☀️sudah pecah air ketuban,
☀️pernah mendapat darah beku (Venous thromboembolism),
☀️kekurangan darah haemoglobin < 7.5,
☀️mengalami pendarahan,
☀️mempunyai kehamilan di luar rahim (ectopic pregnancy).

Apa yang boleh dibuat untuk mengurangkan risiko :

A) Hanya terbang jarak jauh jika perlu. Jika tak perlu, lebih baik jangan pergi.
B)Jika awal kehamilan, scan dahulu untuk menentukan kehamilan ialah di dalam rahim dan bukan ectopic pregnancy di luar rahim.
C) Minum air banyak-banyak dalam kapalterbang dan berjalan-jalan atau membuat senaman buku lali dengan kerap semasa duduk.
D) Cuba mendapat tempat duduk di tepi daripada di sebelah tingkap supaya senang bangun berjalan.
E) Pakailah setokin compression untuk membantu pengaliran darah di kaki.
F) Bagi ibu yang pernah mendapat darah beku, doktor akan berbincang tentang pengambilan suntikan heparin (LMWH) untuk mencairkan darah sebelum perjalanan pergi dan perjalanan pulang.
G) Bila sampai di perantauan, elakkan traveller’s diarrhoea, cirit-birit yang disebabkan kurang peka terhadap kebersihan pemakanan.

Leave a Reply