019 600 8626
HOTLINE
06 677 0034
HOSPITAL
06 675 2560
KLINIK
was successfully added to your cart.

Cart

All Posts By

Nurul Hazwani

Penyakit Pneumokokal

By | Artikel | No Comments

Apa itu jangkitan Pneumokokal?

Penyakit Pneumokokal adalah disebabkan oleh sejenis kuman bakteria yang biasa menyebabkan jangkitan pada tekak dan telinga. Ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih serius seperti jangkitan paru-paru dan radang selaput otak.

Apakah yang menyebabkan jangkitan Pneumokokal?

Kuman penyebab penyakit ini ialah Streptococcal pneumoniae atau Pneumokokus yang terdapat dalam lapisan hidung dan tekak orang yang sihat (pembawa kuman). Kuman ini boleh merebak melalui batuk dan orang yang berada di persekitaran secara langsung.

Apakah vaksin yang ada dan bagaimana ia diberikan?

Vaksin terdahulu ialah pneumococcal polysaccharide vaccine (PPV) yang mengandungi 23 antigen pada lapisan yang telah ditulenkan. Vaksin yang terbaru ialah pneumococcal conjugate vaccine (PCV) yang telah diubahsuai dengan menggabungkan 7 lapisan kapsul polisakarida yang telah ditulenkan dan setiap satunya digabungkan dengan toksin difteria yang telah di nyah aktifkan, untuk mempertingkatkan keberkesanan vaksin ini. Polisakarida adalah kandungan gula kompleks yang merupakan sebahagian daripada kuman bakteria itu sendiri. Vaksin ini harus diberikan melalui suntikan ke dalam otot.

Vaksin diberi mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pengeluar vaksin tersebut.

Siapa yang patut menerima vaksin ini?

Ibubapa boleh memilih untuk memberi vaksin ini kepada bayi-bayi mereka yang sihat. Vaksin ini adalah disarankan untuk kanak-kanak yang mengalami daya tahan badan yang lemah termasuklah mereka yang telah menjalani pembedahan pembuangan limpa atas sebab-sebab tertentu, contohnya seperti pesakit Talasemia (penyakit darah yang kronik).

KREDIT: myhealth.gov.my

Perancang Keluarga

By | Artikel | No Comments

Kenapakah saya perlu mengambil berat mengenai perancang keluarga?

Merancang keluarga bermaksud menentukan bilakah masa yang sesuai untuk mempunyai anak, jarak kehamilan dan berapakah bilangan yang di ingini oleh pasangan tersebut.

Masa yang sesuai untuk wanita hamil :

  • Berumur diantara 20 dan 35 tahun
  • Kelahiran anak terakhir sekurang-kurangnya 2 tahun lalu atau mempunyai masalah perubatan yang terkawal & optima
  • Tidak mempunyai penyakit yang menjejaskan kesihatan ibu dan bayi
  • Pasangan ingin mempunyai anak

Ibu dan bayi adalah berisiko jika faktor-faktor di atas tidak dipenuhi. Dari itu wanita adalah digalakkan mengamalkan kaedah perancang keluarga berkesan.

Apakah kaedah-kaedah perancang keluarga yang ada?

  • Kaedah semulajadi
    • Kaedah masa subur
    • Suhu badan asas
    • Kaedah cairan dan lendiran faraj
    • Kaedah gabungan
    • Kaedah tanpa haid tempoh penyusuan
  • Kaedah halangan
    • Kondom
    • Topi servik
    • Diafram
  • Hormon
    • Pil
    • Implan
    • Suntikan
  • Alat dalam rahim
  • Kaedah kekal
    • Ikatan tiub fallopian/peranakan
    • Pembedahan mengikat saluran mani lelaki

Apakah faedah merancang keluarga?

Faedah-faedahnya termasuklah:

  • Meningkatkan kualiti hidup wanita, pasangan dan anak-anak
  • Membantu wanita merancang dan menjarakkan kehamilan untuk kesihatan ibu dan anak yang lebih baik
  • Untuk mengelakkan kehamilan yang tidak diingini
  • Untuk menyelamatkan nyawa ibu dan bayi
  • Merancang keluarga membaiki kesejahteraan keluarga

Apakah kaedah yang sesuai untuk saya?

Anda perlulah menentukan kaedah yang paling sesuai untuk anda dengan bantuan anggota kesihatan. Pasangan mempunyai peranan yang penting dalam bentuk sokongan bagi memastikan perancang keluarga berkesan. Faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum memilih kaedah perancang keluarga:

  • Umur wanita tersebut
  • Taraf kesihatan
  • Keberkesanan kaedah
  • Kaedah yang disukai individu
  • Kaedah yang terdapat di klinik
  • Sejarah obstetrik & ginekologi lepas

Bagaimana untuk saya tahu yang saya tidak hamil sebelum memulakan perancang keluarga?

Sebelum memulakan perancang keluarga, anda harus memastikan anda tidak hamil. Wanita tidak hamil jika beliau tidak mempunyai tanda-tanda kehamilan dan mempunyai kriteria seperti di bawah:

  • Dalam masa 7 hari selepas haid normal
  • Dalam masa 7 hari selepas keguguran
  • Dalam masa 4 minggu selepas kelahiran untuk ibu-ibu yang tidak menyusukan bayi
  • Ibu-ibu yang menyusukan anak dalam masa 6 bulan kelahiran dan belum lagi turun haid
  • Belum lagi melakukan seks sejak haid terakhir

Sekiranya kehamilan belum lagi dipastikan, anda perlu :

  • melakukan ujian kehamilan air kencing atau
  • tunggu sehingga haid berikutnya (kondom dan penggunaan bahan pembunuh sperma boleh digunakan sementara menunggu haid berikutnya)

Bilakah kaedah perancang keluarga perlu dimulakan?

  • Hormon (pil)
    • Wanita tidak hamil- bila-bila masa, terutamanya dalam masa 7 hari
    • Selepas keguguran- mulakan serta merta
    • Selepas kelahiran :-
      • Jika tidak menyusukan bayi-mulakan 3 minggu selepas melahirkan anak
      • Jika menyusukan bayi- mulakan 6 minggu selepas melahirkan anak atau lebih awal jika berhenti menyusu atau digantikan dengan susu formula
  • Suntikan hormon
    • Mulakan dalam masa 7 hari haid
    • Mulakan serta merta selepas keguguran
    • Selepas kelahiran
      • Sekiranya tidak menyusu-serta-merta selepas melahirkan anak
      • Jika menyusukan bayi-6 minggu selepas melahirkan anak
  • Alat dalam rahim
    • Semasa haid
    • Serta merta selepas keguguran
    • 6-8 minggu selepas kelahiran sebelum memulakan hubungan seks
  • Kaedah kekal
    • Wanita (Ikatan tiub fallopian/ tiub peranakkan)
      • serta-merta selepas melahirkan atau
      • 6 minggu selepas melahirkan atau
      • Semasa pembedahan kelahiran/ Caesar atau
      • Bila-bila masa
    • Lelaki (Vasektomi)
      • Bila-bila masa

Adakah kaedah perancang keluarga yang digunakan semasa kecemasan berkesan untuk mengelak kehamilan?

Keberkesanan Pil perancang yang digunakan semasa kecemasan ialah 75% manakala keberkesanan Alat dalam rahim pula adalah 99.9% untuk mengelak kehamilan.

Apakah yang perlu saya lakukan jika saya terlupa mengambil pil kombinasi hormon paket 21 (seperti Marvelon, Nordette)?

  • Lambat memulakan
    • Tidak melakukan seks atau menggunakan kondom atau gunakan bahan pemusnah sperma sehingga anda mengambil turutan 7 pil.
  • Terlupa 1 pil
    • Ambil serta-merta dan sambung yang lain seperti biasa.
  • Terlupa 2 atau lebih pil
    • Gunakan kondom untuk selama 7 hari
    • Ambil pil hormon
    • Kira berapa bilangan pil hormon yang masih tinggal dalam paket, jika 7 biji atau lebih, makan pil yang tinggal seperti biasa. Jika kurang dari 7 pil hormone yang tinggal, makan baki pil yang tinggal itu seperti biasa dan mulakan paket baru pada hari esoknya.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya tertinggal pil hormon progestin ? (cth, Noriday)

Ambil pil terakhir yang tertinggal serta-merta. Elakkan seks. Sambung mengambil pil berikutnya seperti biasa. Jika tidak dapat mengelak dari melakukan seks, gunakan kaedah perancang yang lain selama 48 jam.

Sekiranya tiub fallopian/ peranakan saya telah diikat?

Kaedah pembedahan adalah kaedah kekal dan pembedahan untuk membukanya dapat dilakukan tetapi mungkin tidak akan berjaya.

Dimanakah saya boleh mendapat khidmat bantuan untuk perancang keluarga?

Khidmat Perancang Keluarga terdapat di semua Klinik Kesihatan Kerajaan, Klinik Lembaga Pembangunan dan Kependudukan Negara (LPPKN) dan Klinik Pertubuhan Perancang Keluarga.

KREDIT: myhealth.gov.my

Menangani Masalah Mabuk Kehamilan

By | Artikel | No Comments

Pengenalan

Mabuk hamil adalah satu fenomena yang sangat biasa berlaku sekitar 70-80% kehamilan. Secara umumnya, ia adalah ringan dan tidak melarat. Majoriti wanita tidak memerlukan bantuan perubatan dan boleh dirawat dirumah.

Apa yang menyebabkan mabuk semasa kehamilan?

Punca sebenar wanita mabuk semasa hamil atau mengapa sesetengah wanita mempunyai gejala yang teruk masih tidak diketahui. Banyak kajian yang mengaitkannya dengan perubahan hormon yang berlaku diawal kehamilan. Didapati wanita yang muntah-muntah pada awal kehamilan mempunyai paras estrogen yang lebih tinggi.

Wanita yang hamil kembar dua atau tiga biasanya mengalami mabuk yang lebih teruk, begitu juga dengan wanita yang mengalami ‘kehamilan anggur (molar pregnancy)’ iaitu sejenis kehamilan yang tidak normal. Adalah dianjurkan wanita yang mengalami ‘hyperemesis gravidarum’ gelaran yang diberi kepada wanita yang mengalami mabuk hamil yang sangat teruk, menjalani pemeriksaan ultrasound untuk memastikan tiada kehamilan kembar ataupun kehamilan anggur. Punca lain yang boleh menyebabkan mabuk hamil yang teruk adalah jangkitan saluran kencing, radang usus dan keracunan makanan.

Wanita dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya mereka mengalami muntah yang teruk dan tidak berupaya untuk mengambil makanan atau minuman yang mencukupi.

Berapa lamakah ia akan berpanjangan?

Rasa loya dan muntah lazimnya bermula sekitar 6 minggu kehamilan. Kebiasaanya ia berlaku pada waktu pagi, tetapi ianya boleh juga berlaku pada bila-bila masa siang atau malam. Lebih kurang 80% wanita akan berhenti mengalami gejala ini sekitar 12 minggu kehamilan, selebihnya beransur pulih sekitar 16 minggu kehamilan. Walau bagaimanapun ada juga segelintir wanita yang akan mengalami masalah ini sepanjang kehamilannya.

Kesan mabuk hamil keatas kandungan

Wanita yang mengalami loya dan muntah-muntah yang ringan diawal kehamilan tidak perlu risau kerana ianya tidak mendatangkan sebarang kesan buruk kepada diri mereka atau bayi dalam kandungan. Walau bagaimanapun, jika muntah menjadi lebih teruk dan wanita tersebut tidak mengambil makanan atau minuman seperti biasa, seseorang itu perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Wanita yang mengalami mabuk hamil yang teruk boleh mengalami dehidrasi dan memerlukan rawatan cecair melalui saluran vena di hospital. Jika rawatan tidak diberi, ianya boleh mengakibatkan ketosis (keadaan di mana asid di dalam badan anik tinggi) atau ‘metabolic acidosis’ dan ini mungkin boleh membahayakan bayi dalam kandungan atau ibu sendiri.

Mengalami mabuk hamil- Kenapa Saya?

Majoriti wanita akan mengalami mabuk hamil semasa awal mengandung. Manakala hanya sebahagian kecil (yang bernasib baik) tidak mengalami masalah ini. Gejala ini mungkin teruk dikalangan sesetengah wanita. Antara faktor yang menyebabkan seseorang ibu itu mengalami mabuk hamil yang teruk termasuk:

  • Mempunyai kandungan kembar
  • Mempunyai sejarah mabuk hamil pada kandungan lalu
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami mabuk hamil

 

Pencetus mabuk semasa hamil

Kadangkala, sesetengah faktor boleh menjadi pencetus kepada mabuk hamil. Diantaranya adalah:

  • Bauan atau wangian seperti minyak wangi, kopi, asap rokok
  • Bauan semasa memasak atau menggoreng
  • Berasa sangat letih
  • Perasaan gelisah atau risau

Tip untuk mengurangkan mabuk semasa hamil

Mabuk pagi boleh dikurangkan dengan mengubah diet seperti berikut:

  • Kerap makan dan minum, tetapi dalam kuantiti yang kecil, lebih kurang 5-6 hidangan kecil sehari. Ini untuk memastikan air dan pemakanan yang mencukupi.
  • Makan semasa bangun tidur biasanya membantu, contohnya apabila bangun dari tidur, makan beberapa keping biskut kraker dan rehat 15 minit sebelum bangun dari tempat tidur.
  • Terus makan sesuatu makanan apabila mengidamkannya (teringinkannya)
  • Elakkan makan makanan berminyak, pedas atau bergoreng
  • Elakkan makan makanan yang boleh menyebabkan anda berasa loya
  • Elakkan minum air dengan banyak semasa makan atau sebaik sahaja sebelum atau selepas makan
  • Minum minuman diantara hidangan untuk mengurangkan muntah
  • Mengambil halia (teh, halwa dan kapsul) terbukti boleh mengurangkan rasa loya dan muntah semasa hamil.

Dapatkan rehat yang secukupnya, udara yang bersih dan sokongan keluarga yang mencukupi.

 

Vitamin tambahan

Mengambil multivitamin yang mengandungi piridoksin (vitamin B-6) semasa hamil boleh membantu mengurangkan rasa loya dan muntah yang teruk. Dos yang dicadangkan adalah 25-50 mg setiap lapan jam.

Jika anda mendapati vitamin tambahan yang dimakan seperti hematinik (atmbha darah), boleh menambahkan rasa loya, anda boleh memakannya pada waktu malam sebelum tidur. Jika ianya tidak membantu, berbincanglah dengan doktor untuk menukar bentuk vitamin. Vitamin dalam bentuk gel biasanya kurang memberi kesan loya.

Siapakah yang boleh membantu saya berkenaan mabuk hamil ini?

Mempunyai suami dan ahli keluarga yang memahami keadaan ini akan banyak membantu. Walau bagaimanapun, sekiranya gejala ini berkekalan dan susah untuk ditangani, anda harus mendapatkan nasihat dan kaunseling dari klinik yang berdekatan. Anda juga mungkin memerlukan ubat untuk membantu mengurangkan rasa loya dan muntah. Kadang-kadang doktor anda mungkin melakukan ujian darah dan air kencing untuk menilai tahap kesihatan anda.

Bilakah saya perlu mendapatkan rawatan perubatan?

Anda perlu mendapatkan rawatan jika:

  • Anda tidak berupaya untuk makan dan minum melebihi 24 jam
  • Jika gejala-gejala di bawah berlaku bersama muntah-muntah anda
  • Demam
  • Cirit birit
  • Sakit perut
  • Sakit kepala

(sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan muntah perlu diselidiki)

Kredit : myhealth.gov.my

Penerbangan jarak jauh semasa kehamilan

By | Artikel | No Comments

Baru-baru ini ada cerita seorang ibu Malaysia yang tersangkut di luar negara kerana terlahirkan anak pramatang semasa menziarahi keluarga di England. Beliau membuat penerbangan ke England semasa hamil, hanya untuk bertujuan menziarah tetapi tidak menjangka akan bersalin pada 30 minggu kehamilannya semasa di sana. Masyarakat Malaysia menolong mengutip bantuan kewangan kerana anak pramatangnya memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (Neonatal intensive care unit, NICU) di England.

 

Untuk ibu yang tidak bermastautin di sana, bayaran yang dikenakan adalah 2000 sterling sehari (harap GST tu boleh dapat balik). Selepas pertukaran mata wang ke Ringgit Malaysia, ini adalah lebih daripada RM10,000 sehari. Di Malaysia pun, di hospital swasta, jika anak pramatang dimasukkan ke NICU, ibubapa akan dikenakan bayaran RM3000 sehari. Anak yang pramatang 30 minggu ini perlukan rawatan di NICU selama satu bulan, dan selepas itu tidak digalakkan terbang ke Malaysia selama satu bulan lagi, supaya paru-parunya lebih matang lagi untuk penerbangan jarak jauh.

Ini bukan kali pertama saya mendengar cerita begini. Sudah beberapa kali saya merawat pelancong yang terberanak di Malaysia juga.

Baru-baru ni juga menjelang cuti Merdeka dan Raya Haji, ada beberapa ibu-ibu hamil yang bertanya bolehlah mereka bercuti ke luar negara?

Nasihat saya kepada semua ibu-ibu hamil tentang penerbangan jarak jauh, iaitu penerbangan 4 jam atau lebih ialah:

1) Penerbangan jarak jauh tidak meninggikan risiko kelahiran pramatang atau keguguran, dan radiasi yang diterima dari angkasa kosmik tidak menjejaskan kesihatan janin.

2) Ketahuilah kelahiran pramatang berlaku dalam 1 per sepuluh (10%) kehamilan. Walaupun 90% ibu tidak melahirkan pramatang, kita tak boleh nak meramalkan siapa yang akan terberanak awal di perantauan. Risiko yang meningkatkan kelahiran pramatang ialah ibu yang pernah melahirkan anak pramatang, kehamilan kembar, ibu yang merokok, ibu yang terlalu obese atau terlalu kurus, ibu yang kekurangan darah haemoglobin, ibu yang ada pendarahan atau pecah air ketuban.

3) Semak lah tiket penerbangan anda sama ada perlindungan insurans perubatan yang anda ada akan juga memberi perlindungan untuk rawatan kebidanan dan neonatal di luar negeri. Kebanyakan insurans perubatan tidak akan memberi perlindungan ini. Fikirkan tentang ini.

4) Selidik sama ada tempat yang anda berkunjung tidak jauh daripada hospital yang boleh memberi perkhidmatan bersalin dan NICU jika perlu.

5) Bertanya kepada sistem penerbangan anda apakah had maksima minggu kehamilan yang dibenarkan terbang. Kebanyakan menghadkan sehingga 36 minggu dan meminta bukti anda tidak melebihi 36 minggu (melalui lapuran ultrasound anda atau buku merah) kerana khuatir anda nanti terberanak atas kapalterbang. Jika kehamilan kembar, hadnya 32 minggu.

6) Selidik sama ada terdapat masalah penyakit berjangkit di negara yang dikunjungi (seperti malaria, yang memerlukan ubat pencegah Malaria, atau epidemik influenza yang digalakkan untuk mendapatkan vaksin pencegah, ZIKA di Brazil). Kami tidak menggalakkan ibu hamil berkunjung ke negara-negara ini.

7) Bagi penerbangan jarak jauh, ketinggian yang dicapai akan menyebabkan tekanan udara yang lebih rendah di dalam kabin kapalterbang jika dibandingkan dengan tekanan udara di permukaan bumi. Ini menyebabkan tekanan oxygen yang rendah, dan kandungan oxygen di dalam darah akan jatuh sebanyak 10%. Ini tidak akan membahayakan janin jika ibu sihat, tetapi ibu yang mempunyai penyakit jantung dimana kandungan oxygen di dalam darah sudah pun lebih rendah daripada biasa tidak akan dibenarkan terbang jarak jauh.

Selain daripada itu, kekeringan udara menyebabkan lebih kehilangan air daripada badan dan kepekatan darah, dan jika duduk lama-lama boleh memperlahankan pengaliran darah di kaki. Semua ini meninggikan risiko mendapat darah beku di dalam saluran darah.

Risiko darah beku kerana penerbangan jauh ini meningkat 4 kali ganda lebih tinggi bagi orang yang tidak hamil.

Risiko darah beku meningkat 6 kali ganda lebih tinggi kerana kepekatan darah ibu yang hamil jika dibandingkan dengan wanita yang tidak hamil.

Risiko mendapat darah beku kerana ibu hamil membuat penerbangan jarak jauh ialah lebih kurang 1 dalam 1000. Jika anda juga pernah mendapat darah beku di dalam saluran darah, risiko anda lebih tinggi lagi dan tidak digalakkan untuk terbang jarak jauh semasa hamil.

Ibu-ibu hamil yang tidak digalakkan membuat penerbangan jarak jauh ialah:
☀️mereka yang mempunyai penyakit jantung,
☀️pernah melahirkan anak pramatang,
☀️kehamilan kembar
☀️sudah pecah air ketuban,
☀️pernah mendapat darah beku (Venous thromboembolism),
☀️kekurangan darah haemoglobin < 7.5,
☀️mengalami pendarahan,
☀️mempunyai kehamilan di luar rahim (ectopic pregnancy).

Apa yang boleh dibuat untuk mengurangkan risiko :

A) Hanya terbang jarak jauh jika perlu. Jika tak perlu, lebih baik jangan pergi.
B)Jika awal kehamilan, scan dahulu untuk menentukan kehamilan ialah di dalam rahim dan bukan ectopic pregnancy di luar rahim.
C) Minum air banyak-banyak dalam kapalterbang dan berjalan-jalan atau membuat senaman buku lali dengan kerap semasa duduk.
D) Cuba mendapat tempat duduk di tepi daripada di sebelah tingkap supaya senang bangun berjalan.
E) Pakailah setokin compression untuk membantu pengaliran darah di kaki.
F) Bagi ibu yang pernah mendapat darah beku, doktor akan berbincang tentang pengambilan suntikan heparin (LMWH) untuk mencairkan darah sebelum perjalanan pergi dan perjalanan pulang.
G) Bila sampai di perantauan, elakkan traveller’s diarrhoea, cirit-birit yang disebabkan kurang peka terhadap kebersihan pemakanan.

Isu Kesuburan Yang Melibatkan Fungsi Endokrin

By | Artikel | No Comments

Pengenalan

Dengan memberi kesan kepada paksi hipotalamus-pituitari, kesemua masalah endokrin boleh menjejaskan fungsi gonad sesuatu pasangan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Antara masalah endokrin yang menjejaskan kesuburan adalah tahap prolaktin yang tinggi, ketidak normalan fungsi tiroid (sama ada tinggi atau rendah), sindrom ovari polisistik (disebutkan pada bahagian tersebut), diabetes yang tidak terkawal, serta penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh kegagalan fungsi endokrin yang lain seperti adrenal hyperplasia dan acromegaly.

Tahap prolaktin yang tinggi dikaitkan dengan pertumbuhan dan pembesaran pada kelenjar prolaktin. Dalam kebanyakan keadaan ia akan dapat dikenal pasti semasa pesakit menjalani ujian darah ketika menjalani rawatan kesuburan. Gejala-gejala seperti penghasilan susu ibu dan gangguan pada penglihatan mungkin berlaku walaupun tidak kerap.

Penyakit tiroid sering dialami di kalangan wanita muda. Ketidak normalan fungsi tiroid (sama ada tinggi atau rendah) boleh mengakibatkan kegagalan ovulasi. Mereka yang mempunyai tahap fungsi tiroid yang tinggi bukan sahaja mengalami ketiadaan haid tetapi juga penurunan berat badan. Fungsi kesuburan akan kembali normal dengan kitaran haid yang biasa sebaik sahaja tahap fungsi tiroid menjadi normal dengan bantuan perubatan. Tahap hormon tiroid yang rendah pula bukan sahaja menyebabkan kemandulan tetapi boleh memberi kesan yang negatif kepada perkembangan neurologi janin.

Diabetes yang tidak terkawal boleh menyebabkan fungsi ovari terganggu dan meningkatkan risiko kecacatan kongenital dan komplikasi kehamilan di kalangan wanita. Ia juga boleh menyebabkan masalah ereksi, ejakulasi dan penghasilan sperma di kalangan golongan lelaki.

Oleh itu, adalah penting bagi pasangan untuk mematuhi arahan dan memberikan kerjasama dengan pengamal perubatan ketika menjalani rawatan kesuburan untuk mengoptimumkan peluang mereka untuk hamil dan mendapatkan cahaya mata.

Kelenjar Endokrin Dan Gangguan Kecelaruan Perubatan Yang Berkaitan

Pituitari – Hiper-prolaktinemia & Akromegali
Tyroid – Hiper atau Hipotiroidism
Kelenjar Adrenal – Hiperplasia Adrenal Kongenital
Pankreas – Diabetes
Ovari – Sindrom Ovari Polistik
Kitaran Ovulasi Normal

SUMBER : http://www.myhealth.gov.my/isu-isu-kesuburan-yang-melibatkan-fungsi-endokrin/

Jaundis – Kekuningan pada Bayi Baru Lahir

By | Artikel | No Comments

Apa itu jaundis?

Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah. Jaundis pada bayi adalah jaundis yang berlaku dalam masa sebulan selepas bayi lahir.

Apa itu bilirubin?

Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis.

Adakah sering terjadi jaundis di kalangan bayi?

Jaundis sering berlaku pada bayi. 50% bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan.

Jenis-jenis jaundis pada bayi dan penyebabnya?

Beberapa jenis jaundis sering terjadi kepada bayi dan tidak berbahaya. Jaundis bermula selepas 48 jam dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran. Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah dan keadaan organ hati yang belum cukup matang.

Jaundis jenis ini bermula dalam masa dua hari selepas lahir. Ini disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah yang berlebihan akibat:

Fisiologi jaundis
Patologi jaundis
Ketidak serasian kumpulan darah antara ibu dan anak. (Bila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’).

Defisiensi G6PD pada bayi. Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak lebih daripada 5% bayi mengalami masalah ini. Sekarang semua bayi akan diperiksa status G6PD nya sejurus selepas lahir.
Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.

Apakah yang menyebabkan jaundis berpanjangan?

Jaundis dianggap berpanjangan apabila keadaan kekuningan berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang cukup bulan dan 21 hari bagi bayi pramatang. Ianya disebabkan oleh:

Penyusuan susu ibu sepenuhnya (breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan ini tidak berbahaya pada bayi selagi ibu tidak mengambil ubat-ubatan tradisional.
Penyekatan aliran hempedu daripada hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat. Bagaimanapun, kes ini jarang terjadi.
Kekurangan hormon tiroid. Kes ini sangat jarang, satu daripada 4000 kelahiran. Melalui program saringan kebangsaan, semua bayi yang lahir akan dilakukan pemeriksaan saringan menggunakan darah tali pusat.

Haruskah saya bimbang jika anak saya jaundis?

Bayi anda mungkin sihat jika :

Bayi anda cukup bulan dan tidak berisiko untuk terjadi jaundis yang teruk.
Jaundis terjadi selepas 48 jam selepas lahir dan tiada peningkatan jaundis yang teruk.
Bayi anda sihat dan aktif.
Walau bagaimanapun, sila dapatkan pemeriksaan doktor untuk penilaian lanjut.

Apakah tanda-tanda bahaya yang patut saya perhatikan?

Anda harus dapatkan pemeriksaan doktor segera sekiranya :

Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan.
Peningkatan kekuningan yang cepat.
Bayi anda mengalami defisiensi G6PD.
Anak anda terdahulu pernah mengalami jaundis teruk.
Bayi anda kelihatan tidak aktif dan tidak mahu menyusu.
Najis bayi anda kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat.
Apakah yang doktor akan lakukan?

Doktor akan memeriksa bayi anda dan melakukan ujian darah serta memberikan rawatan yang sesuai. Mereka juga akan memberikan nasihat yang berkaitan.

Apakah masalah yang akan timbul akibat jaundis teruk?

Kadar indirect bilirubin yang tinggi pada bayi baru lahir boleh mencapai tahap bahaya sehingga menyebabkan:

Gangguan pendengaran di mana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran.
Kerosakan otak yang teruk (kernicterus).
Oleh itu, intervensi awal perlu bagi mengelakkan terjadinya komplikasi yang teruk.

Apakah rawatan yang diberikan?

Terdapat 2 jenis rawatan iaitu:

Bayi akan diletakkan di bawah sinaran komponen cahaya biru tertentu sehingga indirect bilirubin akan ditukarkan kepada bahan yang tidak bahaya.

Rawatan foto pada bayi yang mengalami jaundis.

Nota: jangan dedahkan bayi anda pada cahaya matahari pagi secara terus-menerus kerana ini membahayakan bayi anda.

Kadar bilirubin yang dianggap bahaya bagi bayi baru lahir adalah melebihi 20 mg/dL (340 umol/L). Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi menghindarkan terjadinya kerosakan otak. Kadar bilirubin untuk rawatan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk usia bayi dan penyebab jaundis itu sendiri.

Rawatan foto
Pertukaran darah
Pencegahan jaundis

Adalah penting untuk kita mengesan dan memantau bayi yang berisiko tinggi untuk mendapat jaundis yang teruk.

Tindakan awal mengesan jaundis dapat memastikan rawatan yang sesuai dan mengurangkan komplikasi.

Apakah yang perlu dilakukan kepada bayi yang mengalami jaundis yang teruk?

Semua bayi dengan kadar bilirubin lebih 20 mg/dL harus mendapat rawatan lanjut di klinik pakar kanak-kanak bagi memantau perkembangan dan pendengaran.

Sekiranya terjadi kerosakan otak akibat jaundis teruk, kanak-kanak tersebut harus dirujuk kepada sekumpulan pakar untuk pemulihan.

Apendiks

Senarai makanan, ubat-ubatan yang harus dielakkan oleh penghidap defisiensi G6PD:

Makanan : kacang parang
Herba cina yang tertentu

Ubat-ubatan (rujuk doktor untuk senarai yang lengkap)
Antibiotik seperti sulfamethozazol, nalidiixic acid
Bahan kimia
Ubat gegat (jangan gunakan pada pakaian)

SUMBER : http://www.myhealth.gov.my/kekuningan-pada-bayi-baru-lahir/